‘Contoh’ – Press

http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=27599 – accessed – 20/07/2020

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Julai. – Para pencinta seni kreatif tanah air berpeluang untuk menyaksikan pameran kreatif anak tempatan yang sedang dibukakan kepada orang ramai yang bertempat di Creative Space Art Gallery & Studio, Sengkurong Shopping Complex, di sini.

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Pengurus dan Kurator Creative Space Art Gallery & Studio, Dayang Osveanne binti Osman berkata, pameran bertajuk ‘Contoh’ itu menggabungkan hasil kreatif tiga orang anak tempatan, iaitu Faiq Airudin, Ian Chan dan Yasmin Jaidin.

Tambahnya, pameran yang diadakan ini adalah berlainan daripada pameran-pameran yang diadakan sebelum ini kerana untuk pameran ‘Contoh’ ini, ia lebih kepada meneroka peranan pengimportan, pembuatan dan sara diri di Negara Brunei Darussalam melalui seni.

Menurutnya, pameran berkenaan memperlihatkan bagaimana penduduk di negara ini boleh bergantung kepada industri-industri lain selain minyak dan gas.

Pameran tersebut juga jelasnya, mempamerkan bagaimana penghasilan seperti pakaian dan makanan masih lagi memerlukan sumber luar dan diimport dari luar negara.

Harapan beliau melalui pameran-pameran seperti ini ialah agar peminat dan penggiat seni khususnya seni kreatif akan dapat menikmati dan menyaksikan sendiri penghasilan seni yang luar biasa seperti yang terdapat di muzium-muzium atau galeri-galeri seni di luar negara.

Tambahnya lagi, Creative Space juga akan terus berkolaborasi bersama artis-artis seni kreatif tempatan untuk mengembangkan dan mempelbagaikan spektrum aktiviti seni di negara ini.

Pameran ‘Contoh’ dibukakan kepada orang ramai sehingga awal bulan Ogos 2020, iaitu setiap Rabu hingga Ahad dengan bayaran BND15 untuk ‘single entry ticket’, manakala BND20 untuk ‘unlimited entry ticket’.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan pameran tersebut, mereka perlu membuat tempahan awal melalui laman Instagram ‘@creative.space.brunei’.